Monday, July 4, 2011

Program Keluarga Angkat di Sawah Sempadan

            Laungan azan di subuh hari membangunkan aku yang sedang lena diulit mimpi. Aku masih ingin menarik selimut dan meneruskan mimpi indahku. Hembusan bayu sedingin salju membuatkan mataku terasa berat. Bantal panjang pelukku sentiasa menemaniku seolah-olah enggan membiarkan aku bangun dari tempat perbaringanku semalaman. Apa hendak jadi dengan diriku ini. Sudah cukup bergelar remaja yang matang pemikirannya tetapi aku masih liat untuk bangun awal pagi. Apatah lagi untuk menunaikan tanggungjawabku sebagai khalifah Allah di muka bumi ini sewaktu subuh hari. Solat subuh sering aku tinggalkan hanya kerana aku terlalu asyik dibuai mimpi. Lebih kurang jam 7 pagi, aku kembali tersedar dari lenaku. Mataku bulat memerhatikan waktu yang terpampang di skrin telefon bimbitku. Ya, sudah hampir jam tujuh pagi. Hari ini pada tanggal 19 Mac 2011, aku dan rakan-rakan bawah pimpinan Mama Hariyati akan menyertai satu program kemasyarakatan di KualaSelangor. MasyaAllah. Aku boleh terlupa akan perkara itu dek kerana terlalu melayan rasa mengantukku. Aku bingkas bangun dan mencapai tuala lalu pergi membersihkan diri.
            Hampir jam 7.15 pagi, aku sudah lengkap bersiap. Tanpa rasa bersalah kerana tidak menunaikan solat Subuh, aku segera mencapai beg pakaian yang telah aku kemas semalam sebelum tidur. Mujurlah pada malam sebelum aku berangkat ke Kuala Selangor aku telah siap mengemas pakaianku. Dan aku berasa sangat lega kerana aku tidak membiasakan sikapku yang suka melengah-lengahkan waktu tidak terjadi semalam. Jika tidak, sudah pasti aku akan lebih kelam kabut jadinya. Mama sering meningatkan kami semua agar jangan lewat dan barangsiapa yang lewat, terpaksa ke sana dengan cara sendiri. Itulah pesan Mama.
            Aku hanya berjalan kaki menuju ke tempat yang dijanjikan untuk menaiki bas yang disediakan untuk program kali ini. Aku seolah-olah tidak mampu untuk membimbit beg pakaianku itu. Barulah aku sedar yang aku membawa pakaian terlalu banyak untuk ke sana. Mahu tak mahu, aku terus melangkah berjalan. Dari jauh, aku sudah memerhatikan ramai kawan-kawanku sedang berkumpul. Aku menarik nafas lega kerana bas yang akan kami naiki masih belum bergerak. Mujurlah aku aku sempat. Jika tidak, terlepas lah aku untuk menyertai program yang sangat aku nanti-nantikan ini.
            Setibanya aku di perkarangan tempat bas behenti, aku mendapatkan rakan-rakanku yang masih terduduk menanti kehadiran rakan-rakan yang lain. Mataku memerhatikan seorang demi seorang. Ternyata semuanya seolah-olah kelihatan seperti baru bangun tidur. Hatiku tetawa-tawa kecil. Kasihan sungguh aku melihat keadaan mereka. Sedangkan, aku pun berada dalam situasi sama. Biasalah pelajar masa kini. Semuanya tak pernah terasa hendak bangun awal. Pantang tiada kelas pasa waktu pagi, pasti masih ramai yang akan menarik selimut melayan mimpi di subuh pagi.
            Tiba-tiba aku perhatikan kelibat dua, tiga orang rakanku memakai pakaian kemeja-T hitam. Sungguh unik baju tersebut kerana rekaannya melambangkan program yang bakal kami jalankan iaitu Program Jom Ke Bendang.

Beralih kepada program ini, program ini sebenarnya merupakan sebuah program yang telah dianjurkan kepada pelajar Komunikasi dan Perubahan. Kami sebenarnya akan ditempatkan bersama keluarga angkat masing-masing di Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Kuala Selangor. Menerusi program inilah kami akan merasai kehidupan oranng lain. Anak-anak orang kaya kali ini akan terpaksa bermanja dengan pacat dan lintah di sawah bendang. Latar belakang keluargaku yang berasal daripada kampung membuatkan aku tidak merasa gentar. Cuma apa yang membuatkan aku merasa begitu terasa teruja sekali ialah kerana inilah pertama kalinya aku akan merasai nikmat ke bendang kerana menurut rakan-rakanku sawah bendang di sana kelihatan kehijau-hijauan. Sungguh mempesonakan.

Aku memerhatikan sebuah kereta yang pintunya terbuaka, kelihatan ramai pelajar terkejar-kejar ke sana. Aku dengan penuh rasa ingin tahu segera menghampiri kereta tersebut. Gegendang telingaku tajam menangkap apa yang dikatakan mereka, “S”, “M”, “L”. itulah perkara yang dapat aku dengar. Rupanya-rupanya ahli jawatankuasa program sedang mengedarkan pakaian kani di situ. Aku dengan penuh rasa teruja melihat rakan-rakanku segak bergaya degan kemeja-T masing-masing turut ingin mendapatkan kemejaku. Setelah mendapatkannya, aku terasa malas hendak berjalan ke bilik air untuk menukar pakaianku ini kerana tandas terletak agak jauh. Aku ambil keputusan untuk tunggu sehingga nanti sahaja baru aku akan menyalin pakaian.
Melirik- lirik ke arah jam, sudah hampir jam 8.30 pagi. Tiba-tiba aku terdengar pekikan suara Mama. “Cepat! Cepat!” Mama memberikan arahan kepada kami untuk segera menaiki bas kerana bas akan bergerak tidak lama lagi. Aku gelisah kerana dua orang rakanku masih belum tiba. Anis dan Mimi msih dalam perjalan menurut mereka. aku mengambil tempat di dalam bas sambil meletakkan begku di sebelah sebagai tanda “reserved” kerana aku menyimpan kerusi tersebut untuk Mimi dan Anis. Tak lama selepas itui, dengan langkah yang laju dan tergesa-gesa, kelibat Anis danc Mimi pun muncul. Aku menarik nafas lega.
Perutku yang masih belum terisi sejak bangun dari tidur sudah mula “berkeroncong”. Mujurlah aku ada membawa sebungkus biskut kering. Moleklah dibaut bekalan sebagai alas perut. Tak lama selepas itu, ahli jawatankuasa program pun berulang alik di dalam bas mengedarkan roti dan air sebagai sarapan kami di dalam bas. Syukur Alhamdulillah. Kenyang juga aku sewaktu di dalam bas. Perut yang cukup terisi ditambah dengan kedinginan pendingin hawa di dalam bas membuatkan mataku kembali tertutup perlahan-lahan. Aku terlena seketika di dalam perjalanan.
Cuaca yang kurang baik berserta hujan membuatkan ramai yang terlena di dalam bas. Tak lama kemudian, bas berhenti di sebuah stesen minyak dan akui mengsmbil kesempatan tersebut untuk menyalin pakaianku. Tak lama selepas itu, kami meneruskan perjalan.
Sewaktu setibanya kami di sana, cuaca sudah kembali elok. Matahari sudah meninggi menandakan sudah masuk waktu tengah hari. Kehijauan sawah seolah-olah menggamit kedatangan kami ke sana. Sungguh asyik dan mempesonakan. Aku berasa begitu teruja sekali. Kami semua segera menuruni bas dan mendapatkan beg pakaian masing-masing. Lalu bergerak menuju ke dewan bagi upacara perasmian program keluarga angkat.

Aku berjalan bersama rakan-rakan melaui ban menuju ke dewan yang telah disediakan untuk upacara perasmian. Nasih belum aku temui seorang pun ibu atau ayah angkat yang akan kami terima. Aku berasa berdebar-debar dan tidak sabar. Mama dan nenerapa ahli jawatankuasa program yang lain kelihatan sibuk dengan persiapan perasmian majlis. Aku dan rakan-rakan mengambil tempat di bahagian hadapan dewan. Masih berasa berdebar-debar, teruja, dan rasa tidak sabar, aku hanya menantikan majlis untuk dirasmi dan dimulakan. Tak lama selepas itu, muncul beberapa kelibat ibu dan ayah angkat yang bakal kami terima. Aku amati wajah mereka seorang demi seorang. Wajah-wajah mereka mengingatkan aku kepada ayahanda dan bondaku yang kini berada di kampung. Hatiku sedikit hiba.
Mama mula menyerahkan setiap kumpulan pelajar kepada keluarga angkat masing-masing. Aku berada bersama Sofi, Ery, dan hafiz sebagai ahli kumpulanku untuk program ini. Sejurus nama kami dipanggil, kami bingkas ke depan dan mendapatkan ayah angkat kami. Aku sedikit terkejut kerana kami mendapat seorang ayah angkat yang bergelar imam kampung. masuaAllah. Satu tamparan hebat buatku. Aku hanyalah seorang remaja biasa yang terlalu suka untuk bersuka ria sehingga melupakan tanggungjawabjku kepada Allah SWT. Pada mulanya aku sedikit gentar kerana mendapat ayah angjat yang bergelar imam. Namun, aku cuba kuatkan diri, menerima pembaharuan ini sebaik mungkin. Inilah salah satu tujuan Mama menganjurkan program seumpama ini untuk memberikan kami ruang dan peluang untuk merasai bentuk kehidupan yang lain yang mungkin belum pernah kami rasai. Tuntasmya, kami akan merasai perubahan dan perbezaan dari segi social terutamanya apabila terpaksa memniasakan diri dengan bentuk corak kehidupan yang baru.

                Menjabat salam serta mencium tangan ayahanda angkat, hatiku sedikit hiba menahan air mata. Terbayang wajah ayahandaku yang berada di kampung. Begitu sayu rasanya. Setelah selesai merakamkam sedikit gambar, kami beredar keluar dewan membontoti ayahanda kami untuk menaiki keretanya menuju ke rumah. Aku amati betul-betul keretanya. Sebuah Honda Accord berwarna hitam bernombor WDK 2611. Wow!... hebat juga tok imam ini pada pandanganku. Aku tersenyum sendirian.
            Setibanya kami di rumah ayahanda kami, kami disambut dengan kehadiran dua puteri comel. Aku bertanya kepada ayah angkatku siapa gerangan mereka berdua dan ternyata mereka adalah puteri kepada ayahanda angkatku. Begitu girang mereka menyambut kehadiran kami ke sana. Melangkah masuk ke dalam ruamh, kami ditempatkan dalam ssebuah vilik yang telah disediakan. Cukup selesa bagiku selama dua hari di sana. Selesai meletakkan barang-barang, kami beramah mesra bersama keluarga angkat kami. Sesi soal jawab bermula. Aku cuba berkenalan sebaik mungkin dengan mereka. ayah serta ibu angkatku tersenyum menjawab persoalan kami. Begitu ikhlas pandangan mata mereka membuatkan aku berasa sedikit hiba. Teringat keluargaku di kampung. Entah apa khabar mereka di sana agaknya.
            Ayah angkatku sememangnya terkenal dalam kalangan penduduk kampung kerana beliau merupakan imam kampung. Diberi nama Haji Razali, beliau kini yang berusia 58 tahun hanya mengupah orang untuk mengusahakan sawahnya kerana beliau tidak mampu lagi untuk melakukan kerja-kerja berat tersebut berikutan otot-otot badannya yang sudah tidak brgitu gagah seumpama dahulu. Beliau yang dahulunya menetap di Cheras bersama isteri dan anak-anak di usia muda mencari rezeki sebagai seorang kakitangan Majlis Perbandaran. Setelah menginjak usia, mengambil keputusan untuk menetap di kampung bersebelahan dengan rumah kakaknya bagi mengusahakan bendang yang luas ekarnya. Ibu angkat kami asyik berulang alik ke dapur sibuk menyediakan makanan tengah hari kami. Melihatkam wajahnya yang sayu, aku terbayangkan isteri kepada pelakon terkenal iaitu Aziz Satar kerana wajah ibu angkat kami adalah hampir sama dengannya. Beliau bernama Puan Mariam. Menurut ibu, beliau tidak bekerja kerana ingin menguruskan rumah tangga sebaik mungkin dan ingin memberikan kebajikan yang secukupnya kepada dua orang puterinya.
            Perbualan kami semakin mendalam dan akhirnya kami mendapat tahu bahawa anak-anak ayah dan ibu angkat kami ini cukup istimewa. Seorang megalami sakit sindrom down, manakala yang seorang lagi nerupakan anak angkat.

                Nurul Aini nama diberi. Meskipun usianya sudah menjangkau 18 tahun, tetapi kecacatan yang dialaminya membuatkan dia tidak seuntung rakan-rakannya yang seusia dengannya. Namun begitu, aku seolah-olah tidak mampu menahan air mata. Aku hatiku begitu terusik menyaksikan Aini yang cacat mampu untuk melakukan solat fardhu dengan sempurna. Aku mencerminkan diri. Apakah aku tidak mensyukuri nikmat Tuhan? MasyaAllah. Begitu bermakna program ini buatku. Aini begitu istimewa sekali padaku. Dia kadang-kala mendiamkan diri memerhatikan kami.Hanya adiknyalah peneman setia kepadanya sehari-hari. Nadia Farhana, seorang kanak-kanak comel yang berusia 6 tahun yang sedang bersekolah di peringkat prasekolah begitu petah berkata-kata. Sering kali dia mengusik kakaknya lalau membuatkan kakaknya tersipu-sipu malu. Rasa sayuku sedikit terubat apabila menyaksikan telatah dua beradik ini. Selesai bersembang seketika, ibu mempelawa kami semua ke dapur untuk makan tengah hari. Bersama kakak kepada ayah angkatku, ibu sibuk melayan kami berempat menjamah santapan pada tengah hari itu. Begitu meriah sekali hidangan di atas meja. Rindu pula aku pada masakan emak di kampung. Selesai solat Zohor, kami sambung berbual-bual sehinggalah masuk waktu fardhu Asar. Ayahanda mempelawa kami mengikutinya untuk ke masjid. Aku tak ingin melepaskan kesempatan ini. Ini peluang yang harus aku ambil untuk memperbaiki kelemahan diriku melalui program ini.
            Selesai membaca doa setelah menuanaikan solat, aku terkejut apabila mendapati hanya Sembilan pelajar lelaki yang datang ke masjid untuk menunaikan solat. Astargfirullahalazim. Aku beristoghfar panjang. Masakan mereka mengambil peluang untuk memboloskan doro sedangkam dari awal Mama sudah memperingatkam kami semua untuk turun ke masjid bagi menunaikan solat. Aku hanya terdiam tidak terkata apa-apa. Hendak melangkah keluar dari masjid, ayah menahan langkahku dengan panggilannya. Dia meminta kami tunggu sebentar kerana katanya aka nada upacara akad nikah di masjid tersebut. Aku mematikan langkah lalu terus duduk di dinding menunggu upacara bermua. Satu kesempatan yang cukup menarik buat aku kerana mendapat peluang seumapa ini yang tidak dijangka-jangka dan berlaku secara kebetulan.
            Hampir menunjukkan 5.30 petang, kami tidak pulang ke rumah sebaliknya kami bergegas ke dewan untuk upacara latihan bagi Majlis Malam Kebudayaan yang akan berlanfsung pada malam harinya. Ayah hanya sekadar menghantar kami ke sana lalu beliau memento diri untuk pulang.
            Walaupun jam sudah menunjukkan jam 5.30 petang, tetapi masih belum ramai yang berkumpul. Mengambil kesempatan yang ada, kami sempat merakamkan sedikit gambar di kawasan sawah yang menghijau sebagai tanda kenang-kenangan. Anis dan Mimi begitu bersemangat untuk bergambar, masakan tidak, mereka sanggup memakai pakaian berunsurkan kampung iaitu baju kedah dan kain batik semata-mata untuk mengambil gambar. Begitulah minat mereka. Aku hanya sekadar tersenyum dan berasa kagum dengan semangat mereka. basikal tua yang terdapat di rumah penghulu sempat digunakan sebagai props untuk sebahagian daripada rakan-rakanku bergambar. Almaklumlah susasana kampung. Cuaca yang baik berserta deruan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa membuatkan kami semakin asyik bergambar sehinggakan kami terlupa bahawa kami seharusnya berlatih untuk Majlis Malam Kebudayaan. Aku terkenangkan lagu dengangan Nora sewaktu itu iaitu Desa Tercinta. Begitu memori sekali ketika itu.



Lirik lagu Nora (Desa Tercinta)
Burung yang berkicauan
Air mengalir tenang
Sejuk mata memandang
Damai mempesonakan
Padi melambai-lambai
Gadis di tepi bendang
Walau panas membahang
Tetap manis tersenyum riang
Ke kirilah (ahai) ke kananlah (ahai)
Inilah desa yang tercinta (ahai)
Menarilah (ahai) menyanyilah (ahai)
Riangnya suara mereka
Desa tercinta
Haruan atau keli
Masakan cili padi
Makan beramai-ramai
Tusuk tawa mengilai
Dan senja pun berlabuh
Malam pula bertamu
Dengar cerita atok
Nenek pun mula menjeling
emmm... apa tu ?
Jom kita balik


            Mama kelihatan seakan-akan bengan mungkin kerana masih belum ramai yang datang untuk latihan. Aku yang sedang asyik merakamkan sedikit gambar bersama rakan-rakan segera bergerak ke dewan kerana  khuatir Mama akan naik berang. Mula menyaksikan persembahan tarian zapin daripada kumpulan A, aku terpana seketika. Indah juga rupanya tarian zapin ini. Begitulah anak-anak muda zaman sekarang yang masih sukar membuang ideologi mereka terhadap seni warisan kita dengan menganggapnya sebagai sesuatu yang bosan dan ketinggalan zaman.
            Ketika aku dan Mimi sedang berbual sambil merkamkan sedikit gambar, kami berdua dikejutkan dengan kehadiran Huwaida. Dia kelihatan sedikit risau. Aku sedikit celaru tantang apa sebenarnya yang berlaku. Rupa-rupanya menurut Huwaida, dia dan Ali tidak dapat melakukan pertunjukan fesyen dek kerana Ali demam dan keadaan kesihatannya sememangnya tidak mengizinkan. Lalu dia memohon jasa baik aku dan Mimi untuk menggantikan mereka pada malam tersebut sebagai pasangan yang akan memperagakan pakaian Melayu. Mujurlah aku ada membawa baju teluk belanga dari rumah. Lalu kami segera berlatih memperagakan pakaian untuk pertunjukan pada malam itu.
            Menginjak waktu maghrib, kami tidak sempat menunaikan solat fardhu maghrib di masjid kerana kesuntukan waktu. Lalu ayah meminta kami solat di rumah sahaja dan kami telah melantik Hafiz sebagai imam. Selesai menunaikan solat, kami menjamah sedikit makanan yang telah dihidangkan oleh ibu. Sungguh menyelerakan makan malam kami ketika itu. Jika di rumah sewa, hanya mi segera peneman setia. Aku bersyukur yang tidak terhingga. Belum sempat kami menhabiskan makanan, terdengar suara orang member salam. Aini lantas membuka pintu dan alangkah gembiranya dia apabila melihat kakaknya pulang bersama suami dan dua orang anaknya. Sambil menggendong anak kakaknya yang masih bayi, Aini tersenyum-senyum keseorangan. Aku sempat bersalaman dengan menantu ayahanda. Meskipun tanganku kotor kerana belum menghabiskan makanan, dia tetap menghulurkan tabgan untuk bersalaman dan aku menghulurkan lenganku sebagai tanda sambutannya. Tidak lama selepas itu, bunui deruan enjin kereta ayah kedengaran dan dia meminta kami bersia kerana ingin menghantar kami ke Majlis Malam Kebudayaan. Aku yang baru selesai menggosok baju yang akan diperagakan segera bersiap dan bersalaman dengan mereka sebelum bergegas ke dewan.
            Setibanya di dewan, rata-rata semua pelajar sedang sibuk berlatih di saat terakhir untuk pertunjukan pada malam itu. Masing-masing ingin memberikan yang terbaik kepada penontom terutamanya sekali kepada penduduk Kampung Sawah Sempadan. Upacara perasmian dijalankan dengan penuh meriah. Letupan bunga api yang dilakukan memecah kesunyian malam serta mewarnakan lagi kegelapan langit malam itu. Satu detik dan panorama yang cukup indah. Setelah selesai ketua kampung dan Mama memberikan ucapan, satu demi satu persembahan telah dipersembahkan dan telah mendapat tepukan gemuruh daripada penonton. Ada yang mempersembahkan tarian zapin, sketsa, dan juga bohria. Tak lama selepas itu, tiba giliran aku dan rakan-rakan untuk mempersembahkan pertunjukan fesyen. Kami mempunyai empat pasangan yang mana aku bersama Mimi menggayakan pakaian Melayu, Sofi dan Anis memperagakan pakaian Arab, Ery dan Bella mengenakan pakaian Jawa, manakala Jazli bersama Mahira mempersembahkan pakaian Punjabi.

Aku sedikit gementar. Ramai yang mengetahui yang aku seorang yang pendiam. Jadi adalah sedikit keajaiban sekiranya aku mampu muncul di hadapan khalayak sebagai seorang model fesyen. Walaupun berasa malu, Mimi dan rakan-rakan yang lain sentiasa memberi sokongan moral yang aku mampu untuk melakukannya dan aku mengambil peluang ini sebagai satu cabaran untuk aku memajukan diri dan membuktikan kepada mereka yang aku sebenarnya mampu untuk melakukannnya. Akhirnya, tepukan gemuruh penontom membuatkan aku bersemngat dan kami semua melakukannya. Terima kasih kepada semua rakan-rakan. Terima kasih yang tak terhingga.
            Selesai upacara Malam Kebudayaan, ayah menjemput kami. Beliau mempelawa kami untuk makan sekiranya kami masih berasa lapar tetapi kami menolak kerana bterasa segan memandangkan sudah jauh malam. Ayah menghidupkjan suis televisyen lalu mengajak kami semua menonton bersam. Satu suasana yang cukup istimewa pada ketika itu. Ayah angkatku berperwatakkan seperti ayahku di kampung. Menonton TV sambil berbual-bual bersama. Sehinggalah beliau tidak mampu lagi untuk menahan rasa mengantuk, lalu beliau meminta diri untuk beransur ke bilik tidur. Tidak lama selepas itu, kami juga yang keletihan sebenarnya mengatur langkah ke bilik tidur memandangkan hari sudah jauh malam.
            Deringan telefon bimbit mengejutkan aku pada jam 5.30 pagi. Kami berempat bingkas bangun untuk menyiapkan diri dan bersedia mengikut ayah ke masjid untuk menunaikan solat Subuh. Ini merupakan hari kedua dan terakhir kami di sana. Selesai solat subuh kami tidak langsung pulang ke rumah. Ayah membawa kami bersarapan di luar. Aku memesansekeping roti canai bersama secawan the tarik. Sungguh mengenyangkan. Syukur Alhamdulillah. Perut yang terisi membuatkan hati kami terasa senang. Masing-masing mampu mengukir senyuman walaupun sebenanrmya kami masih mengantuk kerana keletihan. Setelah masuk ke dalam kereta, ayah member cadangan untuk membawa kami pusing keliling kampung. Aku hanya bersetuju. Inilah hari terakhir kami di sini jadi aku tidak mahu melepaskan peluang.
            Selesai pusing satu kampung, ayah membawa kami pulang. Kami sempat merehatkan diri seketika. Tak lama selepas itu, aku mendapat panggilan dari Mimi yang dia dan Anis ingin berkunjung ke rumah ayah dan ibu angkat kami. Sambil menghabiskan masa bersama Farhana dan Aini, aku menyambut kedatangan mereka. setrelah itu, kami sempat merakamkan sedikit gambar bersama ayahanda apabila ayahanda membawa kami bersiar-siar di sekitar perkarangan rumahnya.

            Keterujaan Anis dan Mimi untuk bergambar masih belum menemui titik noktahnya. Mereka mengajak kami berempat untuk mengikut mereka keliling kampung bagi merakamkan gambar dengan menaiki motisikal. Selesai meminta izin dari ayah, kami terus beransur. Ayah sempat memerhatikan gelagat kami menaiki motosikalnya sehinggalah kami hilang dari pandangan. Begitu banyak gambar yang sempat kami rakamkan. Antaranya termasuklah di kawasan sawah bendang, jalan, titi dan sungai, serta di kawasan palung iaitu saluran bekalan air untuk membekalkan air kepada sawah bendang.
Hampir waktu tengah hari, kami membuat keputusan untuk pulang. Sedang asyik menunggang motosikal, Anis terkejut apabila mendapati dia terlanggar seekor ular yang sedang berlingkar di atas jalan raya. Mujurlah dia masih mampu motosikal. Jika tidak, pasti sudah terhumban ke bendang. Cuaca yang panas terik membuatkan kami terasa haus lalu kami singgah di sebuah gerai untuk membeli air tebu. Kehadiran ayah di kedai berhampiran membuatkan kami teringatkan rumah. Ayah berpesan untuk kami segera pulang kerana ibu sudah menyiapkan makan tengah hari.
Selesai menunaikan solat zohor di rumah dan makan tengah hari, kami sempat merakamkan sedikit gambar sebagai kenang-kenangan bersama ayahanda dan bonda angkat. Begitu sayu rasanya untukku meninggalkan rumah ini. Terlalu banyak kenangan yang telah kami lalui bersama mereka sekeluarga.

                Hatiku begitu meruntun pilu. Aku tidak dapat menahan sebak apabila ibu menitiskan air mata kerana kami akan berpisah. Aku sebak melihatnya. Sebelum melangkah keluar, aku menghulurkan sedikit cenderahati kepada mereka iaitu kain pelikat dan kain sarung sebagai kenang-kenangan buat mereka. selesai bersalaman, ayah menghantar kami ke dewan untuk upacara penutupan dan beliau langsung meminta diri untuk pulang ke rumah sejurus itu. Majlis perpisahan dilancarkan secara tidak formal. Setiap pelajar bersalaman buat kali terakhir dan ketika ini, suasana pilu menyelubungi majlis. Penuh dengan tangisan dan pelukan buat kali terakhir. Selesai majlis penutupan, setiap pelajar menyiapkan diri lalu bergerak menaiki bas masing-masing. Dalam perjalanan pulang, ramai yang tertidur kerana keletihan. Aku berasa sangat penat namun puas. Puas yang sukar untuk aku gambarkan dengan kata-kata. Sekitar jam 8.30 malam, kami tiba di UiTM dan pulang ke kediaman masing-masing.
            Kesimpulan yang aku peroleh daripada program ini adalah ia program anak angkat “Jom Ke Bendang” merupakan satu program yang terbaik pernah aku sertai pelbagai memori, kenangan indah, pengalaman, serta pengajaran berguna yang aku peroleh menerusi program ini. Menerusi program ini, aku dapat melihat perubahan social yang ketara. Masyarakat kampung dengan masyarakat Bandar jauh bezanya sekali. Hubungan mereka sesama warga dan jiran amat erat. Aku tidak merasai semua ini di bandar yang mana masyarakatnya sibuk untuk menjaga diri masing-masing tanpa mempedulikan masyarakat sekeliling. Bak kata pepatah, bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Selain itu, pengajaran yang boleh aku ambil menerusi program ini ialah nilai kesedaran aku terhadap pentingnya solat. Mendapat tok imam sebagai ayah angkatmerupakan satu peluang yang cukup berharga untukku mempernaiki kekurangan diriku yang satu ini. Seorang remaja yang sindrom down masih mampu untuk menunaikan solat fardhu dengan sempurna, inikan pula aku. Apa kurangnya aku? Begitu hina aku di muka buni ini kerana kufur dengan nikmat pemberian dan kurniaan Allah SWT. Satu pujian juga harus diberikan kepada mereka yang berusaha untuk mempersembahkan tarian zapin kerana ini merupakan satu langkah yang baik untuk megembalikan zaman kegemilangan tarian zapin. Ke mana kita hendak campakkan seni warisan budaya ini? Kita seharusnya memeliharanya agar dikenang anak dan cucu kita kelak. Selain itu, aku amat berterima kasih kepada keluar angkatku yang sudi menerima dan melayan kami seperti anak kandung mereka sendiri. Aku cukup rindukan mereka. Sekiranya ada peluang, inginku kembali ke sana dan mengukuhkan lagi ikatan antara kami. Terima kasih juga kepada Mama kerana menganjurkan program sebaik ini. Aku takkan lupakan kenangan aku di Sawah Sempadan kerana ia sememangnya antara memori terindah seumur hidupku.


Sehingga berjumpa lagi…
Assalamualaikum wbt……

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...